SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SK IBOI PELANDUK..

Monday, May 23, 2016

SEJARAH SEKOLAH  

          Sekolah Rendah Kerajaan Iboi / Pelandok telah ditubuhkan dalam tahun 1949. Penubuhan sekolah ini ialah atas kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak mereka. Untuk tujuan menguruskan pembinaan sekolah, mereka mengadakan mesyuarat pertama dan seterusnya menubuhkan Ahli Jawatankuasa Pembinaan Sekolah. Pengerusi Ahli Jawatankuasa pertama ialah Haji Affandi Bin Haji Majais dan dibantu oleh seorang bendahari dan tujuh orang ahli.  
Setiap keluarga di Kampung Iboi / Pelandok diminta membayar sepuluh ringgit untuk membeli sebuah rumah kepunyaan Haji Zaini Bin Haji Marais untuk dijadikan sekolah sebagai tempat permulaan belajar. Seramai 30 orang pelajar dari Kampung Iboi / Pelandok bersama dengan seorang Guru Besar telah menjadi warganya yang pertama. Mata Pelajaran yang diajar ialah Tulisan Rumi,Tulisan Jawi, Ilmu Hisab, Lukisan dan Kesihatan.
   
            Pada mulanya sekolah ini dinamakan Sekolah Rakyat Haji Marais mengambil sempena nama tuan punya tanah tempat sekolah itu didirikan. Tetapi pendaftaran atas nama tersebut tidak diluluskan dan ditukar dengan nama Sekolah Rendah Hilir Sadong. Pada tahun 1964 sekolah ini telah dipindahkan ke tempat baru. Bangunan baru dibina di atas tanah kepunyaan Haji Idris Nor,Haji Bujang Bojeng, dan En Mail Bojeng. Nama Sekolah ini ditukar kepada Sekolah Rendah Kerajaan Iboi / Pelandok AS.35.
           Kemudahan fizikal yang ada pada waktu itu ialah enam buah kelas, Pejabat Am, Bilik Guru Besar, Bilik Guru, Pusat Sumber Sekolah, empat buah rumah guru. Bilangan kakitangan dan murid pada masa itu ialah murid dua ratus sepuluh orang (210 orang), Seorang Guru Besar, Sepuluh orang guru, seorang Guru Agama, Seorang Guru Pemulihan, Seorang Pembantu Tadbir dan seorang Pekerja Am Rendah. Oleh kerana sekolah ini terlalu uzur dan daif, kerajaan telah bersetuju membina Bangunan Sekolah baru. Ini adalah hasil daripada lawatan YB Datuk Amar Dr Sulaiman Bin Haji Daud iaitu Menteri Pendidikan Malaysia pada 22 Mac 1993. Susulan daripada itu kerajaan telah menggunakan tanah kepunyaan Tuan Haji Antek Bin Bojet, Tuan Haji Arafah Bin Haji Bedu, Tuan Haji Bakri Bin Hj Bujang, En Rebi Bin Hj. Bujang dan En Abu Samah Bin Haji Abeng dengan syarat diberi pampasan.   Setelah pembelian tanah tersebut selesai, perletakan batu asas pembinaan Sekolah Rendah Kerajaan Iboi / Pelandok telah dilaku- kan oleh YB Datuk Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg, Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak pada 25 Ogos 1996 bersamaan 10 Rabiulakhir 1417 H. Maka bermulalah pembinaan sekolah ini.   Proses pembinaan sekolah ini telah terbengkalai disebabkan kontraktor berkenaan tidak dapat menyiapkannya oleh sebab keadaan ekonomi pada masa itu gawat. Maka kontraktor baru telah diarah untuk menyiapkan pembinaan sekolah ini iaitu Syarikat Barisan Harmoni.
           Pada 27 Januari 2000 pihak kontrakter telah menyiapkan pembinaan dan menyerahkan bangunan ini kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), dan seterusnya JKR telah menyerahkan bangunan tersebut kepada pihak Jabatan Pendidikan dan pihak sekolah ini. Maka sekolah ini telah diberi nama SEKOLAH KEBANGSAAN IBOI / PELANDUK. Sekolah ini telah digunakan sepenuhnya pada 9 Februari 2000 dan Majlis Kesyukuran telah diadakan pada 10 Februari 2000 dengan disertai oleh Pegawai Pendidikan Bahagian Kuching Samarahan En Abdillah Adam.

No comments:

Post a Comment